• Deepwater Horizon


    1. Lama juga tak tengok wayang lepas tengok Star Wars tahun lepas.

    2. Kali ini tengok Deepwater Horizon arahan Peter Berg. Filem arahan beliau yang pernah aku tengok adalah filem The Kingdom dan Hancock. Pada pendapat aku, Peter Berg seorang pengarah yang ingin mencuba pelbagai jenis genre dalam kerjayanya. Kali ini, dia mengarahkan filem bercorak kisah benar.

    3. Semasa tengok trailer filem ini pada tahun lepas, aku mencari sedikit pencarian mengenai insiden Deepwater Horizon. Bacaan semasa tahun 2010 semasa berlakunya insiden hanya sekadar ambil tahu sambil lalu sahaja semasa membaca berita.

    4. Aku juga terbaca mengenai komitmen pengarah yang belajar mengenai kerja-kerja penggerudian minyak di dasar laut selama 2 tahun sebelum mengarahkan filem ini. Respect.

    5. Secara rumusan, kalau diberi 10 bintang, aku berikan 9 untuk filem ini.

    6. Pengarahan yang bagus. Indikator aku adalah bagaimana penonton boleh masih berasa menonton filem walaupun skrip untuk separuh pertama filem adalah bersifat fakta dokumentari.

    7. Pengarah juga mungkin cuba untuk menggunakan struktur naratif yang lain daripada yang lain. Aku hanya dapat mengesan hanya 2 act sahaja digunakan dalam filem ini. Kata mudahnya filem ini hanya terbahagi kepada 2 titik klimaks.  Titik klimaks pertama adalah untuk 'meletupkan pelantar minyak' (diakhiri dengan shot master menjauhi imej pelantar yang telah meletup). Titik klimaks kedua pula adalah untuk misi 'meranapkan pelantar dan hero berjaya menyelamatkan diri'. Ini struktur naratif yang aku nampak.

    8. Skrip bagi filem ini juga bijak. Indikatornya juga adalah pada penonton yang dapat memahami fakta-fakta bak dokumentari yang kebiasaannya kedengaran bosan, tapi diolah menjadi sesuatu yang menarik untuk ditonton dan difahami.

    9. Aku takkan komen dari sudut lakonan, kerana kebiasaannya industri Hollywood sentiasa tidak menghampakan penonton dari sudut ini. Cuma dalam ramai-ramai watak, aku suka watak lakonan John Malkovich.

    10. Production design untuk filem ini juga mengagumkan. Khususnya dari sudut sinematografi oleh Roger Deakins. Kekaguman semasa menonton babak lawan akhir filem Skyfall kembali dirasai semasa menonton separuh kedua filem ini. 

    11. Sedikit ulasan luar filem yang membuatkan aku terfikir adalah, bagaimana keterbukaan dalam industri perfileman luar negara. Dalam filem ini, syarikat petroleum BP digambarkan sebagai punca utama yang menyebabkan insiden buruk ini berlaku. Logo BP, nama syarikat terpapar dan disebut banyak kali dalam filem ini. Namun begitu, filem ini dapat ditayangkan di seluruh dunia walaupun mungkin imej BP terjejas teruk oleh filem ini. (dengan tidak mengambil kira apa legal action yang berlaku sebelum penayangan filem ini antara syarikat penerbitan dan BP).

    12. Jangan harap dalam Malaysia untuk dapat peluang seperti ini. Selagi mana orang kita tak faham dengan sebenar-benar faham apa perbezaan antara fiksyen dan bukan fiksyen, selagi mana hati dan perasaan sesuatu pihak masih menjadi satu yang perlu diambil kira, selagi itulah kita takkan dapat untuk menghasilkan sebuah filem yang 'berdasarkan kisah benar' yang benar-benar jujur dan adil dalam memberi hiburan kepada peminat filem. Lihat sahaja nasib Dukun arahan Dain Said (Bunohan)

    13. Aku pernah cuba untuk membuat kajian untuk membuat dokumentari berdasarkan insiden MH653 Tanjung Kupang 1977. Tapi usaha itu dimatikan kerana ada sumber daripada pihak FINAS mengatakan, tajuk ini antara yang tak boleh dibuat dokumentari kerana mengambil kira hati dan perasaan keluarga mangsa insiden. Aku pasti ramai yang tidak tahu apa kisah-kisah yang berlaku di sebalik insiden ini. Yang ada hanya kisah-kisah hantu yang bersepah dalam tabloid mengenai insiden Tanjung Kupang.

    14. Aku tak pernah putus asa dalam insiden Tanjung Kupang. InsyaAllah, mungkin secara indie, mungkin aku dapat menghasilkan sebuah dokumentari jujur mengenai insiden ini walaupun mungkin ia tak dapat menandingi kehebatan Deepwater Horizon.



  • You might also like

    No comments:

    Post a Comment

Powered by Blogger.