Editor's Comment on Nenek Kebaya

barisan editor suhan post enterprise
amir n edi (standing), romi, ijat n me

Tanggal 3 November 2009 bakal mendatang, menyaksikan drama Nenek Kebaya di slot Lagenda TV3 ditayangkan. Jujur kata, aku agak teruja menunggu tarikh tersebut kerana inilah drama bersiri pertama bakal ditayangkan yang aku turut serta sebagai penyunting, pereka montaj dan penyusun muzik bersama bos editor, abang Selamat Yusof. Drama bersiri pertama yang aku sunting sepanjang berkerja di Suhan Movies bertajuk 'R&R' mungkin tahun depan menerjah kaca televisyen. Bagi drama Nenek Kebaya ini, aku menyunting penuh bagi episod 1,2,5,6,9,10,13,14,17 dan 18. Selebihnya dipegang oleh bro Selamat untuk mengejar tarikh tayangan yang sangat dekat.

Memang berani tindakan yang diambil oleh barisan pentadbiran syarikat tempat aku berkerja ini untuk merealisasikan drama ini kerana, watak utama atau boleh dikatakan hero dipegang oleh Raissudin Hamzah; bapa kepada penyanyi Sarah Raissudin,dan bukannya hero-hero yang so called kacak, jambu atau sebagainya. Dilengkapkan dengan kehadiran Mariani yang membawa 3 perwatakan yang berlainan, bagi aku drama bersiri ini mempunyai potensi yang kuat untuk melekat di hati penonton dan membuatkan mereka tertanya-tanya, suspen mengenai bakal apa yang terjadi pada episod yang akan datang. Aku sendiri pun sengaja tidak mahu membaca skrip penuh 20 episod di pejabat aku sebab nak dapat thrill mengenai twist plot bagi setiap episod yang bakal disunting.

Intan Sari memasang dendam terhadap keturunan Raja Kembayat

Bercakap soal genre, drama ini lebih kepada kisah keluarga. Walaupun dihidangkan dengan banyak babak-babak mistik dan seram, ia hanya sebagai perencah cerita. Sebagai penyunting, bagi aku cerita ini bukan cerita hantu yang boleh ditayangkan di slot Seram TV3. Keretakan keluarga Tuan Adam (Raissudin Hamzah) berlaku bukan disebabkan gangguan hantu yang datang ke teratak mereka yang sebelum itu bahagia. Namun lebih kepada kegagalan ahli-ahli di dalam rumah tersebut mengawal emosi, ditambah dengan sikap penting diri sendiri, buruk sangka, cemburu dan hasad dengki. Di sinilah watak Shamsiah (Diana Rafar) yang diperguna oleh semangat atau roh Intan Sari (Ika) yang mengamalkan ilmu hitam untuk menghasut dan seterusnya memporak perandakan kebahagiaan rumahtangga Tuan Adam.

Tuan Adam pening memikirkan apa yang berlaku
dengan keluarganya..

Kehadiran seniwati Mariani menghiaskan lagi drama ini dengan lakonan yang cukup terserlah. Biasalah, orang lama...siapa kata pengalaman itu tak penting? Bagi aku, seniwati Mariani cukup berjaya, bukan setakat membawa watak sebagai Nek Puteh iaitu nenek kepada Shamsiah, malah beliau juga dapat membawa lenggok percakapan dan pergerakan Shamsiah dan Intan Sari (yaaaa! Spoiler di situ!) Raissudin Hamzah pun tak kurang hebatnya. Daripada seorang datuk yang cukup menyayangi ahli keluarganya, yang boleh duduk bergurau senda dan tanpa bosan melayan karenah cucu-cucu yang dahagakan cerita-cerita penglipur lara kepada lelaki yang cukup bingung memikirkan apa yang terjadi kepada keluarganya.

Babak Nek Puteh (Mariani) sedang nazak sakit tua

Aku mengharapkan episod 1 bakal memberi sedikit tamparan hebat buat penonton untuk mengikuti episod-episod seterusnya dengan setia. Separuh durasi memaparkan latar zaman purba yang memperjelas motif watak Intan Sari untuk menaruh dendam kepada seluruh keturunan keluarga Tuan Adam. Jujur kata, setiap episod mampu mendatangkan persoalan ke minda penonton mengenai apa yang bakal terjadi seterusnya. Benar, drama bersiri kita masih belum mampu menandingi kehebatan drama-drama luar seperti Prison Break, LOST, CSI, dan lain-lain lagi. Namun begitu, drama kita masih lagi dalam lingkungan yang boleh dikatakan berpijak di bumi nyata dan dekat dengan kehidupan kita sehari-harian. Maka, kepada yang skeptikal terhadap drama-drama tempatan, siapa lagi yang nak tonton drama kita melainkan kita? Selamat menonton drama bersiri terbaru terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd di slot Lagenda tv3 bertajuk Nenek Kebaya.

salah satu shoot untuk promo Nenek Kebaya


p/s: nak beat editing drama-drama Khabir Bhatia....


Facebook

Work Of Art

Akan Datang

shout


Nukilan Lepas